Hakikat Kehidupan



Kehidupan yang penuh pancaroba ini merupakan satu tunjang untuk kita berusaha inginkan yang terbaik. Sebagai manusia kita tidak terlepas melakukan kesilapan kepada manusia mahupun kepada Allah S.W.T..Ramai di antara kita mempunyai pendapat yang berbeza mengapa kita perlu melakukannya. Adakah salah atau betul?. Hanya fikiran yang konsisten sahaja akan menyatakannya. Di sini saya ingin meluahkan apa yang terbuku di dalam hati saya selama ini di mana banyak yang saya fikirkan tiada permulaan dan pengakhiran. Mungkin ramai yang tidak faham apa yang ingin saya cuba sampaikan atau mungkin juga merumitkan untuk merungkaikan persoalan ini. Justeru itu, saya perlukan sokongan dari semua individu menyatakan pendapat mahupun kritikan untuk kita sama-sama ada tanggungjawab memimpin kearah yang diredhai oleh Allah S.W.T..

Manusia yang telah lahir di dunia ini mempunyai tiga tanggungjawab iaitu terhadap Allah S.W.T.. Kita diseru untuk menghambakan diri kepada Allah S.W.T. termasuklah patuh pada segala perintahnya dan jangan banyak soal dengan pertanyaan-pertanyaan kenapa dan mengapa. Sikap yang merendah diri, berilmu dan sedar Allah S.W.T. itu Maha Berkuasa menjadi pemangkin yang efektif kepada diri sendri. Terpulanglah pada empunya badan mengkehendakkan yang benar atau sebaliknya. Tanggungjawab seterusnya ialah jangan suka merosakkan diri kerana tubuh badan ini merupakan amanah daripada Allah S.W.T. yang amat berharga malah mungkin tidak ada yang setarafnya. Kita diminta menjaganya dan jikalau ia terseksa, tubuh badan kita akan menyalahkan diri kita di hadapan Allah S.W.T. kelak. Kita tidak mahu akan sebegini rupa bukan? Oleh sebab itulah apabila kita membuat kesalahan, kita akan dikutuk dan jikalau sikap sombong kita tidak akan disukai. Percayalah bahawa apabila kita berbuat baik sesama makhluk, orang akan menyanjungi dan mengenangkan kebaikan kita. Ingatlah ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali’. Akhir sekali, tanggungjawab terhadap keluarga iaitu saling sayang menyayangi dan hormat- menghormati dalam keluarga itu perlu sebab dan itulah permulaan sesebuah tanggungjawab. Ungkapan Rumahku, syurgaku menjadi tonggak sesebuah keluarga yang lengkap dan harmoni. Hal ini kerana, rumah yang cantik ialah rumah yang dipagari oleh cinta, berdindingkan kasih sayang, beratapkan kepercayaan dan senyum penghuninya yang akan menerangi rumah itu. Tuntasnya, kita dilahirkan di dunia yang fana ini bukanlah hanya kerana sia-sia tetapi ada tanggungjawab dan hikmah disebaliknya yang memerlukan kita berfikir dan bertindak untuk menghadapinya.

Selain itu, ramai diantara kita masih keliru akan erti kebahagiaan. Pada pendapat saya, kebahagiaan memang tercipta untuk kita semua. Mungkin bagi mereka yang menangis, yang disakiti hati dan perasaan. Juga mereka yang mencari dan mencuba tanpa rasa jemu. Kita juga tergolong dengan perkara itu kerana kebahagiaan itu bisa memahami erti kasih sayang. Lenyapnya kebahagiaan itu akan tercetusnya kemelut dalam kebenciaan pada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Bahagia bagi sesetengah orang mungkin merujuk kepada kebendaan, kemewahan, darjat yang tinggi ataupun percintaan. Terlebih dahulu skop utama di sini saya ingin sentuhkan bagaimana kebahagiaan itu tercipta dengan adanya kasih percintaan sesama manusia. Percintaan memang dekat di sisi manusia itu sendiri sama ada yang muda atau yang tua sekalipun. Memang tidak salah untuk kita mencintai seseorang itu tetapi bagi saya cinta dengan makhluk tidak akan kekal selamanya. Saya pasti semua di sana lebih mengetahuinya bukan?. Jadilah hamba Allah S.W.T., jangan jadi hamba cinta (makhluk) kerana cinta datang dan pergi, sering membawa derita tetapi Allah S.W.T. tetap kekal dan cinta-Nya pasti membawa bahagia. Bersyukurlah kita sebagai umat Islam kerana disaat kita berada dalam kelukaan, Allah S.W.T. jualah menemani kita dan berikan ketenangan agung yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit sekalipun. Kita seharusnya bijak memikirkan yang mana harus kita dahulukan atau dikemudiankan. Berpeganglah sentiasa kepada prinsip SIHAT iaitu Sentiasa Ingat Hanya Allah Taala.

Berbincang kepada topik ini, saya tertarik dengan perkataan ketenangan. Biasanya ramai orang menyangka bahawa ketenangan itu merupakan salah satu aspek yang terpenting dalam kehidupan ini. Adakah itu hanya dari kata-kata yang meniti dari bibir kita sahaja atau boleh diklasifikasikan sebagai keikhlasan yang disengajakan. Terpulanglah kepada individu itu sendiri mengiakan itu benar atau salah. Kita mempunyai hak masing-masing untuk bersuara. Tetapi yang boleh dikatakan relevan itu ketenangan lahir daripada ketulusaan hati yang ikhlas. Mengapa saya berkata begitu kerana hati yang suci atau tulus sentiasa berada dalam keadaan yang tenang. Bagi saya sesuatu yang perbuatan atau tingkah laku yang lahir dengan niat hati yang bersih nescaya apa yang dilalui hari-hari yang mendatang memperolehi ketenangan yang sebaiknya. Susah untuk saya terjemahkan dengan lebih mendalam kerana ia hadir di dalam hati saya sendiri. Percayalah ketenangan itu akan sentiasa berada di samping kita seandainya kita fahami apa ertinya ketenangan itu dalam kehidupan. Sebagai titipan saya ingin kongsikan terjemahan surah al-Ansyar untuk kita sama-sama mengamalkannya. ‘Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu? Dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu. Yang memberatkan punggungmu?Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama) mu. Kerana Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari segala urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap. Semoga dengan surah al-Ansyar ini dapatlah kita renungkan dan perbaiki diri supaya ketenangan itu ada pada diri kita.

Akhirulkaram, diharapkan intipati yang disampaikan menjadi wadah untuk kita berusaha melakukan anjakan paradigma di dalam menghadapi kepesatan modenisasi sekarang ini. Bersama- samalah kita memperbanyakkan doa kepada-Nya kerana setiap apa yang kita lakukan mestilah doa yang barakah menjadi tunjang utamanya. Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. pernah bersabda: “Doa merupakan satu ibadat, lalu baginda membaca ayat: “Dan berkata Tuhan-Mu: “Berdoalah kepada-Ku…” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi). Sebagai renungan untuk diri saya sendiri serta masyarakat di luar sana, anggaplah perkara yang telah berlalu biarkan ia berlalu, yang mendatang hadapilah dengan cemerlang. Jangan takut kepada celaan orang yang mencela jika saudaramu hanya pada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. serta orang yang beriman, pasti kamu golongan yang berjaya.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...