Adakah anda sering mendengar kata-kata seperti ini? Sudah tentu. Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana inilah pendekatan yang diambil oleh berjuta-juta pengguna kad plastik ini, seolah-olah membeli barang merupakan kegiatan yang sungguh mudah. Awas! Pengurusan kewangan yang sebegini telah memudaratkan kebanyakan keluarga. Apatah lagi dengan kenaikan harga barang-barang yang tidak selari dengan jumlah pendapatan. Kebanyakan orang Malaysia terpaksa berbelanja melebihi daripada kemampuan masing-masing. Hutang kad kredit mungkin kelihatan seperti perkara yang agak kecil tetapi ia boleh menimbulkan masalah yang jauh lebih besar sekiranya tidak berhati-hati.
Fakta tentang Kad Kredit
Pertama, anda hendaklah betul-betul memahami bagaimana kad plastik berfungsi. Anda diberi jumlah kredit, dengan had maksimum yang boleh dicaj kepada kad – “had kredit”. Setiap kali kad ini dicaj melalui sebarang perbelanjaan (transaksi), kredit kita berkurangan. Penyata bulanan yang diterima memberi kita pilihan, sama ada untuk membayar baki sepenuhnya, atau hanya bayaran minimum bulanan (tidak digalakkan). Apabila kita membuat pembayaran bulanan kepada bank yang mengeluarkan kad, had kredit maksimum dikembalikan. Walau bagaimanapun, pemegang-pemegang kad kredit seringkali hanya membayar jumlah faedah dan bayaran minimum baki pokok yang terhutang, dan tidak akan membayar sepenuhnya baki hutang kad kredit mereka.
Perangkap Belanja
Bagaimana agaknya seseorang itu boleh “terperangkap” dengan hutang? Bagi golongan muda, penyakit berhutang ini mungkin bermula dengan cara yang tidak diduga. Di kolej atau pusat pengajian tinggi, sebahagian besar daripada mereka diberi kad kredit tambahan oleh ibu bapa mereka. Banyak pula barang-barang yang perlu dibeli (contohnya, kasut serta pakaian jenama, i-Pod, beg dan barang fesyen yang “cun” dan paling terkini) dan pesta hiburan atau aktiviti sosial yang penting untuk dihadiri! Bukankah amat leceh dan menyusahkan untuk meminta daripada ibu bapa setiap kali duit tambahan diperlukan (bukankah membazir wang untuk bayar kos telefon lagi?). Jadi, cara yang termudah dan tercepat – Caj sahaja dengan kad kredit!
Mungkinkah pelajar yang berani berhutang ini terlalu yakin bahawa mereka akan memperoleh gaji yang tinggi setelah tamat pengajian kelak. Mereka berpendapat bahawa hutang itu akan luput dalam jangkamasa yang singkat. Malangnya, ramai graduan mendapati realiti masa hadapan mereka jauh berbeza daripada apa yang telah dijangkakan. Kini mereka sudah selesa dengan bilangan baki bulanan tersebut dan sedar bahawa mereka telah terperangkap: hutang yang terus meningkat, yang tidak sesuai dengan pendapatan mereka yang ala kadar.
Bukan orang muda sahaja yang mendapati diri mereka terperangkap di dalam situasi begini. Malah, orang dewasa yang berfikiran cukup matang juga tergoda dengan kemudahan kredit ini. Banyak iklan memaparkan produk baru dan canggih yang kononnya “ganjaran” kepada anda! Ya, amat sukar bagi anda untuk menolak tawaran hebat seperti barang-barang rekreasi, pakaian dan gajet-gajet termoden yang sering diberikan.
Dalam situasi lain pula, golongan yang tiada pekerjaan juga boleh terjerumus dalam hutang kredit kad – apabila wang simpanan habis, kad kredit pula dijadikan kemudahan untuk menyara keperluan seharian. Akan tetapi, apabila mereka mula bekerja semula, mereka mendapati bahawa kad kredit mereka sudah mencapai had maksimum; akibatnya pembayaran balik menjadi satu bebanan yang besar buat mereka.
Walaupun anda mungkin tidak mahu berfikiran negatif, namun anda tidak dapat mengelakkan masalah kewangan sekiranya sering tidak mengendahkan realiti yang berlaku. Kemerosotan ekonomi membuatkan ramai orang terdesak dan terjatuh dalam beban kewangan. Hanya mereka yang telah membuat persediaan untuk menghadapi situasi yang kurang baik sebegini akan dapat bertahan di dalam suasana yang sukar. Apakah yang harus dilakukan untuk mengelakkan diri anda daripada menjadi sebahagian daripada angka statistik yang menyedihkan ini?
Cara Pembayaran Balik Hutang Kad Kredit
Jika anda hanya membayar jumlah faedah kad kredit setiap bulan dan ingin melunaskan hutang kad kredit anda, langkah pertama adalah dengan menganalisis pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Pendapatan ditolak jumlah perbelanjaan. Bakinya digunakan untuk membayar hutang kad kredit.
Langkah kedua: Hentikan transaksi menggunakan kad kredit. Bekukan penggunaan kad kredit anda. Buat pembayaran secara tunai. Kemudian senaraikan hutang kad-kad kredit yang masih ada. Kenal pasti kad yang mengenakan caj kewangan yang paling tinggi. Mungkin anda berpeluang untuk pindahkan baki daripada kad berfaedah tinggi kepada kad yang menawarkan kos yang lebih rendah (tentukan anda membaca semua maklumat yang diberi supaya tidak dikenakan kos yang tersembunyi).
Seterusnya, susunkan kad-kad anda mengikut kadar caj kewangan. Gunakan baki pendapatan untuk membayar balik kad yang mempunyai hutang paling tinggi. Setelah hutang kad yang paling tinggi itu selesai, tutup akaun tersebut dan musnahkan kad itu. Kemudian ubahkan fokus anda kepada kad yang seterusnya; teruskan langkah-langkah di atas sehingga semua hutang anda telah selesai. Sebaik sahaja hutang kad kredit anda luput, hanya simpan beberapa kad sahaja – hanya dua atau tiga untuk penggunaan yang boleh dikawal.
Cara Penggunaan Kad Kredit Yang Baik
Setelah menyelesaikan semua hutang kad kredit barulah anda boleh mempertimbangkan cara penggunaan kad-kad tersebut dengan betul. Kad kredit ini sebenarnya alat pengurusan wang yang sungguh berkesan, jika digunakan dengan waras. Kita harus melihat kepada contoh pengguna yang berjaya menguruskan kewangan mereka dengan menggunakan kad kredit.
Pendekatan terpenting dalam penggunaan kad kredit adalah tanggungjawab anda untuk membayar jumlah baki dalam penyata anda setiap bulan. Bayangkan kad kredit itu sebagai wang tunai yang disimpan setiap bulan bagi barang-barang yang dicaj. Dengan perumpamaan ini, anda tidak akan dikenakan kos; kad kredit anda pula akan menjadi kemudahan kewangan yang amat berguna bagi anda.
Kad kredit juga adalah salah satu langkah keselamatan atau perlindungan tambahan dan kemudahan sewaktu membeli-belah dan melancong, dengan syarat kita tidak menyalahgunakannya. Sebagai contoh, anda mempraktikkan bayaran hanya 5% atau RM50 minimum setiap bulan, yang mana lebih tinggi. Bagi baki RM10,000 yang mengenakan caj kewangan sebanyak 18% setahun, anda akan mengambil masa 7 tahun dan 3 bulan untuk menyelesaikan seluruh baki hutang anda. Dan ini juga dengan anggapan bahawa anda tidak lagi menambahkan caj. Bayangkan betapa cepatnya hutang anda akan meningkat jika apa yang dipraktikkan ini melibatkan banyak kad kredit lain pada masa yang sama.
Petua-petua tambahan yang boleh membantu:
Ingat! kad kredit bukan wang percuma.
Hanya simpan satu atau dua kad, jangan sehingga lapan atau sembilan.
Cajkan hanya untuk barang yang anda mampu membayar – elakkan berbelanja melebihi pendapatan anda.
Carilah kad yang menawarkan kos, caj tahunan dan yuran perkhidmatan yang paling rendah (kalau boleh, yang tiada yuran sama sekali).
Bayar semua baki setiap bulan; tetapi jika ini agak sukar, bayar amaun lebih daripada amaun minimum bulanan anda.
Masih bermasalah? Tinggalkan kad anda di rumah!
Dan peringatan terakhir – gunakanlah kad kredit sebagai alat pembayaran dan bukan untuk kredit percuma. Jika anda tidak dapat menggunakannya dengan waras atau bertanggungjawab, mungkin lebih baik bagi anda untuk hentikan penggunaannya sama sekali.
0 comments:
Post a Comment