Harimau Malaya Sudah Bersedia



Harimau Malaya Sudah Bersedia! | Malaysia sudah bersedia untuk ‘melayan’ juara Liga Perdana England, Manchester City di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok, 30 Julai 2012. Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata, keazaman untuk melakarkan kejutan dalam perlawanan Malaysia vs Manchester City itu sangat ketara kerana ia dianggap sebagai jalan terbaik bagi ‘menebus’ kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Arsenal.

Begitupun, Rajogobal tidak mahu memberikan sebarang tekanan kerana beliau inginkan anak-anak buahnya mengulangi semangat dan keyakinan tinggi yang dipamerkan ketika menentang skuad The Gunners. Beliau yakin skuad negara akan memanfaatkan peluang dan pengalaman pada aksi menentang Arsenal dan skuad The Citizens sebagai persiapan serta pendedahan terbaik menjelang kempen Piala Suzuki AFF bermula November depan.

“Keyakinan itu berbeza berbanding sebelum ini. Saya mahu mereka (Harimau Malaya) kekalkan keyakinan itu dan teruskan kesungguhan dalam setiap perlawanan. Bermain dengan pasukan, pemain terkenal seperti City dapat meningkatkan motivasi serta kesungguhan pemain kepada suatu tahap yang berbeza. Kalau kita boleh bermain dengan baik atau sekurang-kurangnya mencipta peluang untuk jaringan gol menentang pemain-pemain terbaik di dunia, itu adalah tanda-tanda yang baik bagi persiapan Piala Suzuki AFF. Saya mahu lihat pemain kita yang mana ‘jangan terlalu takut’, bermain dengan keyakinan tanpa sebarang tekanan. Mungkin (lebih penting adalah) kita mahu mengingatkan kepada pemain agar tidak mengulangi kesilapan ketika menentang Arsenal,” kata Datuk K. Rajagobal.

Ditanya mengenai perubahan corak taktikal ketika melayan kunjungan City, Rajagobal menegaskan yang beliau perlu mencari pemain-pemain alternatif selepas senarai kecederaan pemain semakin meningkat. Tambahnya, beliau berharap mentaliti penyokong berubah lebih ke arah positif kerana ketika ini skuad negara dalam proses ‘pembelajaran’ bagi menentang Arsenal dan City. Beliau terpaksa menggantikan pemain selepas Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, S. Subramaniam, Mohd. Bunyamin Umar dan Mohd. Azmi Muslim mengalami kecederaan ketika menentang Arsenal.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...