Keajaiban Sistem Pertahanan Tubuh



Jika anda sakit, apa yang anda lakukan? Tentunya anda berusaha untuk sembuh daripada sakit itu, bukan? Biasanya anda akan berjumpa doktor atau ahli farmasi, dan mereka akan mencadangkan ubat-ubatan serta kaedah rawatan tertentu untuk menyembuhkan penyakit itu.

Tahukah anda hakikat sebenar bahawa tubuh badan kitalah yang bertindak menyembuhkan penyakit yang datang menyerang itu? Ubat-ubatan yang kita ambil itu hanyalah sebagai alat bantu untuk menolong tubuh melawan kuman atau benda asing yang memasuki tubuh, ataupun mengembalikan semula mana-mana sistem dalam tubuh yang gagal berfungsi dengan sempurna.

Mari kita lihat bagaimana sistem pertahanan tubuh bekerja untuk memelihara kesihatan tubuh kita pada setiap saat dan ketika.

Sistem pertahanan dalam tubuh yang disebut sebagai sistem imunisasi atau sistem kekebalan tubuh boleh ditamsilkan seperti sistem pertahanan dalam sesebuah negara. Untuk mengekalkan kedaulatan sesebuah negara, para perajurit mestilah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang ancaman dari luar mahupun dari dalam negara itu sendiri. Sekiranya para perajurit lemah, maka pastilah negara akan hancur dan akhirnya ditakluki oleh musuh.


Sistem yang Tak Pernah Tidur

Tanpa kita sedari, sebenarnya berjuta-juta tindak balas berlaku dalam tubuh kita pada setiap detik, termasuklah ketika tidur. Satu daripada tindak balas tersebut ialah sistem pertahanan badan atau sistem kekebalan yang menjalankan misi utama dalam kemandirian kehidupan kita di muka bumi ini. Kita mungkin tidak menyedarinya, tetapi ia melindungi diri kita seumpama sebuah pasukan perajurit yang lengkap bersenjata.

Sistem kekebalan didefinisikan sebagai ‘perajurit yang sangat berdisiplin, teratur dan bekerja keras melindungi tubuh manusia dari serangan musuh luar’. Perajurit ini telah pun ‘dilatih’ di ‘pusat latihan’ khusus yang dikenali sebagai sumsum tulang, limpa, kelenjar timus dan kelenjar limfa. Perajurit ini disebut makrofag dan limfosit.

Makrofag akan memusnahkan musuh dengan cara menelannya. Ia kemudian mengajak sel-sel pertahanan lain untuk turut sama di medan pertempuran. Peperangan yang hebat ini menyebabkan suhu badan manusia meningkat (demam). Pada peringkat ini, manusia perlu berehat untuk memberi lebih banyak tenaga kepada sel-sel pertahanan untuk terus memerangi musuh.

Sekiranya musuh yang berjaya memasuki sistem tubuh begitu kuat dan banyak jumlahnya, maka limfosit akan campur tangan. Limfosit akan mengeluarkan pelbagai jenis senjata yang diperlukan untuk memerangi musuh sehingga selesai.

Pada waktu ini, sel-sel pertahanan dalam tubuh kita memerlukan tenaga yang cukup banyak untuk membolehkan operasi berjalan lancar. Selain berehat, kita perlu meminum air yang banyak dan mengambil makanan berkhasiat untuk memberi tenaga tambahan kepada sel-sel tersebut.

Pada saat ini, misi pasukan pertahanan belum berakhir. Terdapat sel-sel perajurit yang bertugas menyimpan maklumat tentang musuh itu dalam memori mereka untuk bertahun-tahun lamanya. Hal ini diperlukan untuk membolehkan sistem kekebalan segera menyusun pertahanan melawan musuh yang sama jika ia datang menyerang lagi.


Sistem Pertahanan Organ


Setiap organ mempunyai sistem pertahanannya yang tersendiri. Apabila kulit mengalami luka, sel-sel pertahanan dengan segera bergerak ke kawasan tersebut untuk memerangi sel-sel asing dan membuang sisa-sisa jaringan yang rosak. Seterusnya, sejumlah sel-sel pertahanan yang lain meningkatkan pengeluaran fibrin, iaitu sejenis protein yang dengan cepat menutup kembali luka itu dengan jaringan berserat.


Peluh yang keluar dari kulit bukan saja berperanan untuk menurunkan suhu tubuh, tetapi juga menyediakan zat makanan bagi kulat tertentu yang hidup di permukaan kulit dan seterusnya menghasilkan bahan bersifat asid seperti asid laktat yang membantu menurunkan tahap pH kulit. Medium bersifat asid ini menyediakan persekitaran yang tidak disukai oleh bakteria.

Jalan lain mikro organisma memasuki tubuh ialah melalui saluran pernafasan. Ketika udara disedut masuk ke dalam paru-paru, berjuta-juta mikro organisma turut masuk. Tetapi dengan adanya rembesan mukosa pada hidung, ia mampu menapis antara 80-90 peratus mikro organisma yang memasuki sistem pernafasan. Mikro organisma yang terlepas dan sampai ke paru-paru pula akan ditelan oleh fagosit dan seterusnya dihapuskan dari tubuh.

Sebahagian mikro organisma yang agak kebal berjaya memasuki sistem pencernaan. Pada ketika ini ia akan dihapuskan oleh asid perut, manakala selebihnya dimusnahkan oleh enzim pencernaan ketika melalui usus kecil.


Menghancurkan Musuh dengan Musuh Lain

Selain mikro organisma berbahaya yang mendatangkan penyakit kepada manusia, sebenarnya terdapat berjuta-juta lagi mikro organisma yang menumpang hidup di tubuh manusia yang tidak membahayakan dan tidak merugikan. Kelompok mikro organisma ini berkumpul di bahagian-bahagian tubuh tertentu, disebut flora tubuh.

Apabila mikro organisma yang tidak diingini oleh tubuh datang menyerang, secara tidak langsung ia turut mengancam kehidupan flora tubuh ini. Apabila hal ini berlaku, flora tubuh tidak akan berdiam diri, sebaliknya menyerang mikro organisma asing ini yang menjadi ancaman kepada mereka. Hal ini memberi manfaat kepada manusia apabila mendapat bantuan ‘tentera tambahan’ secara percuma.


Antibodi

Antibodi merupakan ‘senjata’ yang terdiri daripada protein dan dibentuk untuk melawan sel-sel asing yang masuk ke tubuh manusia. Senjata ini dihasilkan oleh sekelompok sel-sel perajurit dalam sistem kekebalan. Antibodi akan menghancurkan musuh dengan cara mengikatkan dirinya kepada sel-sel musuh atau merosakkan struktur biologi musuh lalu menghancurkannya.



Tubuh manusia mampu menghasilkan antibodi yang sesuai dengan setiap musuh. Ini bererti antibodi yang berbeza dihasilkan untuk memusnahkan musuh yang berbeza. Contoh antibodi dalam tubuh kita ialah IgG (Imuno globulin pergi). Ia terhasil dalam masa beberapa hari selepas serangan dan mampu bertahan antara beberapa minggu hingga beberapa tahun lamanya. IgG beredar dalam tubuh dan banyak terdapat pada darah, sistem limfa, dan usus. IgG mampu melindungi tubuh daripada serangan bakteria dan virus, serta meneutralkan asid yang terdapat dalam racun. Selain itu, IgG mampu menyelinap di antara sel-sel dan menyingkirkan bakteria serta musuh mikro organisma yang masuk ke dalam sel-sel dan kulit. IgG juga dapat masuk ke dalam plasenta ibu hamil dan melindungi janin dari kemungkinan jangkitan mikro organisma.


Kehancuran Sistem Pertahanan


Kini terdapat sejenis virus yang mampu melumpuhkan sistem pertahanan tubuh sehingga tubuh hilang kekebalan daripada apa jua mikro organisma. Virus yang disebut sebagai HIV (Human Immunodeficiency Virus) ini menular kepada seseorang melalui tiga cecair tubuh iaitu darah, sperma dan cecair vagina.

Apabila virus HIV ini masuk ke dalam aliran darah, ia akan menyerang dan membunuh sel-sel limfosit yang disebut T4. Virus ini terus menggandakan dirinya dan membunuh sel-sel T4 lainnya sehingga jumlahnya menjadi begitu banyak di dalam darah dan akhirnya melumpuhkan sistem pertahanan tubuh.

Pada ketika sistem kekebalan tubuh menjadi sangat rendah, seseorang itu sangat terdedah kepada apa juga penyakit. Malah penyakit-penyakit yang tidak berbahaya kepada orang sihat sebaliknya menjadi berbahaya kepada penghidap HIV.



Perubatan Moden dan Antibiotik


Pakar-pakar perubatan moden mencipta kejayaan dalam bidang ini dengan penemuan pelbagai jenis ubat-ubatan serta antibiotik bagi melawan kuman yang masuk ke dalam tubuh. Namun di sebalik kejayaan itu, terdapat begitu banyak kelemahan dan kepincangan yang akhirnya membahayakan nyawa manusia itu sendiri. Misalnya, ubat-ubatan moden diketahui menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh merosakkan organ dalaman terutama hati dan buah pinggang.

Antibiotik pula telah menyebabkan kuman-kuman penyebab penyakit menjadi resistan sehingga antibiotik yang cukup kuat diperlukan untuk memusnahkan kuman-kuman tersebut. Akhirnya antibiotik yang diambil tidak lagi mampu membunuh kuman penyebab penyakit, sebaliknya kuman-kuman ‘baik’ yang diperlukan oleh tubuh yang menjadi korban.

Negara-negara maju pada hari ini tidak lagi menggunakan antibiotik dengan sewenang-wenangnya sebagaimana yang berlaku di negara-negara mundur dan membangun. Apa yang dilakukan ialah mengamalkan gaya hidup sihat, terutamanya mengambil makanan yang berkhasiat bagi membantu tubuh melawan kuman yang datang menyerang.

1 comments:

Suburbanzero said...

informasi yang berguna. :)

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...