Diet Sihat Untuk Gigi



SEMUA orang tahu kesan makanan manis ke atas kesihatan gigi, tetapi masih ramai yang sukar merenggangkan diri daripada ‘rasa sedap’ ini. Malah, ramai juga yang tidak sedar mengalami masalah ketagihan gula sehingga berasa ada yang tidak kena dengan diri mereka seandainya satu hari berpantang daripada menjamah makanan manis.

Apabila memperkatakan mengenai kesihatan gigi, pemakanan dan minuman yang diambil mampu memberi kesan mendalam kepada penampilan gigi, malah senarai makanan yang baik atau buruk untuk gigi mungkin boleh memberi kejutan.

Menurut pakar, aktiviti memberus dan flos gigi hanya sebahagian saja daripada cara hidup yang boleh menjaga kesihatan gigi dan kata-kata seperti ‘anda adalah apa yang anda makan’ memang terbukti benar apabila dikaitkan dengan gigi.

Selain memberus, flos serta berkumur dengan pembasmi kuman mulut, kesihatan gigi boleh dijaga dengan cara menjaga pemakanan dan mengelak diet tidak sihat.

Musuh utama gigi adalah asid yang datang secara langsung daripada makanan, minuman atau dihasilkan oleh bakteria apabila bergabung dengan gula seterusnya menghasilkan asid.

Manakala, makanan bersifat alkali adalah yang terbaik untuk barisan gigi cantik, selain ia mampu menyalurkan mineral serta vitamin untuk memperbaiki enamel gigi dan menggalakkan penghasilan air liur.

Air liur adalah pertahanan pertama mulut kerana ia meneutralkan asid yang merosakkan gigi. Sayuran yang rangup dan berjus juga mempunyai kandungan air yang tinggi selain kaya dengan kalsium dan fosfat yang merencatkan asid.

Dengan pengetahuan mengenai penjagaan gigi, dua masalah yang sering dihadapi masyarakat moden iaitu gigi mereput dan sakit gusi, dapat diatasi sekiranya seseorang itu mengubah dengan cara memperbaiki diet.

Masalah gigi reput berlaku apabila gigi dan tisu keras mulut dimusnahkan oleh produk asid yang terhasil daripada bakteria mulut di mana makanan tertentu atau kombinasi beberapa makanan dikaitkan dengan penghasilan lebih banyak bakteria yang mampu menyebabkan gigi berlubang.

Walaupun diet tidak seimbang bukan punca langsung kepada penyakit gusi, ramai penyelidik percaya masalah itu boleh berlaku lebih pantas dengan kadar lebih teruk terhadap pesakit yang tidak mengamalkan diet penuh nutrien.

Apabila kita makan makanan dan minuman manis, bakteria yang secara semula jadi ada dalam mulut akan makan gula yang terkandung di dalamnya. Ia kemudian menghasilkan asid.

Asid inilah yang lama kelamaan akan menghakis lapisan enamel pada gigi, menyebabkannya menjadi semakin lemah dan mudah reput. Ia secara tidak langsung boleh menjadi ‘tuan rumah’ kepada masalah kesihatan mulut yang lain termasuk gingivitis.

Mengambil makanan manis sepanjang hari atau dalam satu tempoh lama memang diketahui sejak dulu boleh mendatangkan kemudaratan pada gigi kita kerana asid yang terbentuk dalam mulut setiap kali kita makan akan memberi kesan berterusan kepada gigi yang bermula sekurang-kurangnya 20 minit selepas makan.

Pemakanan yang tidak berkhasiat memberi kesan kepada seluruh sistem mun serta dengan itu meningkatkan pendedahan terhadap banyak gangguan.

Individu dengan sistem imun yang rendah mempunyai risiko lebih tinggi bagi mendapat penyakit gusi periodontal, apalagi pada masa sama, ada kajian menunjukkan terdapat kaitan antara kesihatan mulut dengan penyakit lain seperti diabetes dan kardiovaskular.

Oleh itu, pengambilan diet daripada pelbagai jenis kumpulan makanan sebagai sebahagian daripada diet seimbang tidak hanya boleh meningkatkan kesihatan pergigian, tetapi ia meningkatkan pengambilan serat dan vitamin yang boleh mengurangkan risiko penyakit lain.

Dalam usaha menjaga kesihatan gigi, digalakkan mengamalkan tabiat yang baik iaitu dengan memilih makanan daripada lima kumpulan utama iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, roti dan bijirin, susu dan produk tenusu dan daging, ayam, ikan atau kacang.

Elakkan diet tidak sihat yang mengehadkan atau menghapuskan seluruh kumpulan makanan, yang biasanya menghasilkan vitamin dan menyebabkan kekurangan mineral.

Selain itu, sentiasa pastikan mulut sentiasa lembap dengan meminum air yang banyak. Ini kerana air liur melindungi tisu mulut yang lembut dan keras dan jika mulut kering, rangsang pengeluaran air liur dengan makan makanan tiada gula atau gula-gula getah.

Makanan yang tersekat pada celah gigi juga boleh merosakkan, maka apabila memilih snek, elak makanan dari jenis yang lembut, manis dan melekit seperti kek, gula-gula dan buah-buahan kering, sebaliknya pilih makanan sihat seperti kacang, sayur-sayuran mentah, yogurt kosong, keju dan gula-gula getah tanpa gula.

Bagi memastikan kesihatan gigi terpelihara, sentiasa bertanya pada doktor gigi anda mengenai pemakanan yang boleh menjejaskan kesihatan mulut anda dan nutrien penting yang perlu diambil.

Perbincangan bersama profesional kesihatan pergigian digalakkan bagi mengetahui langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah pergigian sama ada dialami diri sendiri atau orang lain yang dekat dengan diri anda.

4 comments:

Athirah said...

adoi.. syngnya bila pikir gigi tersayang bakal luruh bila tua nnti

Unknown said...

yup floss mmg penting tp rmai yg xbuat

p/s: mohon disable captcha utk mmudahkan org komen...pgunaan captcha captcha ni kadang2 memotong mood sesorang utk terus meniggalkan komen apabila dtg kembali

hendri said...

salam persahabatan sob

Suburbanzero said...

bersugi jom. dapat pahala sunnah. :)

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...