Kelebihan Jumaat Jangan Diabaikan


PERJALANAN hidup manusia berputar seperti putaran jam yang terus berdetik dan tidak akan berhenti. Manusia yang hidup dalam putaran masa ini hanya diberikan dua pilihan sahaja, sama ada menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini atau hari esok lebih buruk daripada hari ini.

Begitu juga dengan Muslim yang memahami bahawa putaran masanya perlu sentiasa dimanfaatkan untuk beribadat kepada ALLAH SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Islam meletakkan bahawa Jumaat adalah sebaik-baik hari.


Doa mustajab

Penulis bercorak keagamaan, Amly Asenar berpendapat, umat Islam dianjurkan supaya bersungguh-sungguh berdoa pada Jumaat kerana doa hari tersebut adalah mustajab. Walaupun ulama berbeza pandangan dalam menentukan bahagian waktu yang dikatakan mustajab tersebut, namun apa yang penting ia adalah hikmah ALLAH supaya setiap detik dimanfaatkan sebaiknya untuk menyembah ALLAH yang Maha Esa.

"Selain berdoa, kita juga dianjurkan untuk memperbanyakkan berselawat kepada Rasulullah SAW. Jumaat adalah penghulu bagi segala hari dan bersempena dengan ini wajarlah diperingati penghulu segala manusia iaitu Rasulullah SAW.

"Bukan sahaja untuk memperingati Baginda malahan juga sebagai tanda terima kasih yang tiada bandingnya kepada Baginda kerana umat Islam mendapat pelbagai keistimewaan di dunia dan di akhirat daripada ALLAH dengan sebab Baginda," ulas Amly.

Menurutnya, setelah mengetahui perkara ini, malanglah bagi lidah yang masih lagi tidak dibasahi dengan berselawat kepada Baginda sebaliknya dibasahi dengan menuturkan keuntungan dan kemewahan dunia.


Penghulu segala hari

Sebagai penghulu bagi segala hari, maka sewajarnya Jumaat dilengkapi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Menerusi hikmah Ilahi, agenda Jumaat adalah suatu perkumpulan umat Islam yang besar dan disertai dengan khutbah. Berkumpul dan mendengar khutbah adalah agenda yang disusun khas oleh ALLAH untuk hambaNya yang mempunyai signifi kan yang memberikan pengertian cukup mendalam.

Almy berkata, hari Jumaat yang melambangkan kesatuan umat Islam dalam ibadat dan juga dalam mendapatkan ilmu.

"Ibadat dan ilmu amat penting dalam pembinaan jati diri seorang Muslim kerana jati diri Muslim akan disuntik untuk beriman dan beramal.

"Individu Muslim tidak semata-mata menghadirkan diri dan meminjamkan telinganya tetapi menghadirkan hati nuraninya agar jiwa hambanya tertumpu menghadap kebesaran sang Pencipta dan mendengar katakata sang Pencipta untuk mencari panduan hidup dan mengingatkan jiwa yang alpa," tambahnya.

Maka tidak hairanlah, jika pada hari yang istimewa ini disyariatkan dengan solat Jumaat. Detik masa yang dikhususkan supaya dimanfaatkan untuk iman dan amal.

Justeru umat Islam yang diwajibkan ke atasnya untuk solat Jumaat telah dilarang keras untuk bekerja dan melakukan aktiviti perniagaan ketika solat Jumaat. Ini menunjukkan betapa pentingnya pensyariatan solat Jumaat tersebut.


Ingat hukuman ALLAH

Lebih malang lagi, dek kerana kesibukan kerja dan keletihan, ramai yang mula mengambil ringan kepentingan solat Jumaat. Kelihatan ramai yang lebih berpusu-pusu menziarahi khemah jualan makanan demi memenuhi tuntutan perut sehingga ada yang terlalai dan hanya masuk ke dalam masjid apabila bilal memperdengarkan iqamat untuk mula solat Jumaat.

Amatilah suasana ini dan insafi lah! Betapa suasana hari ini melalaikan mereka daripada mendapat manfaat iman dan ilmu pada Jumaat. Amly berkata lagi, sikap meringankan kewajipan solat Jumaat ini semakin lama semakin membarah sehingga ada yang mula mencipta alasan untuk meninggalkan solat Jumaat. Suasana yang tidak selesa dijadikan kesempatan bagi mereka.

Apatah lagi mereka disogokkan dengan kefahaman yang silap terhadap satu hadis Rasulullah yang seolah-olah menyokong tindakan mereka. Hadis tersebut berbunyi:

“Barang siapa meninggalkan solat Jumaat tanpa uzur sebanyak tiga kali maka ALLAH akan menutup hatinya".

“Hadis ini difahami bahawa mereka berpeluang untuk tidak hadir solat Jumaat asalkan tidak sebanyak tiga kali. Terdapat juga majikan yang menggilirkan pekerja asalkan kerja dapat diteruskan. Sebenarnya hadis tersebut adalah peringatan agar tidak meninggalkan solat Jumaat tanpa ada keuzuran kerana kelak hati mereka akan ditutup oleh ALLAH. Hadis tersebut juga diriwayatkan dengan sekali sahaja tidak hadir dan tiga kali tidak hadir.

Namun bukanlah angka tersebut menjadi tumpuan tetapi janji ALLAH yang dahsyat iaitu tertutupnya hati perlu diberikan perhatian. Justeru, apakah maksud tiga kali tersebut?

“Ulama mengatakan bahawa angka tiga tersebut adalah peluang bagi ALLAH kepada hamba-Nya yang meninggalkan solat Jumaat bertaubat. Oleh itu, jika hamba-Nya masih lagi berdegil dan meninggalkan solat Jumaat maka ALLAH akan mendatangkan hukuman-Nya.

Inilah yang sewajarnya kita fahami dan takuti iaitu hukuman ALLAH dan insafi lah kasihsayang ALLAH yang Maha Pengasih,” ujarnya.

2 comments:

nadia farhana said...

entry yang sangat bermakna ^___^ thanks

Suburbanzero said...

kiamat pun hari jumaat...

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...