Mengapa Ayam Berkokok Setiap Pagi?



Mengapa ayam jantan selalu berkokok ketika hampir menjelang subuh, bahkan sebelum matahari muncul di ufuk Timur? Pernahkah anda terfikir? Menurut satu kajian yang dilakukan , ianya ada kaitan dengan jam ‘alarm’ semulajadi yang dimiliki ayam jantan.

Ayam jantan berkokok kerana memiliki jam ‘dalaman’ yang membantunya mendahului terbitnya matahari. Seperti halnya burung, ayam jantan bernyanyi atau berkokok dalam kitaran (siklus) harian.

Hampir semua haiwan memiliki kitaran harian masing-masing dari kegiatan yang dikenali sebagai circadian (circadian rhythm). Ini adalah ritma biologi pada haiwan, yang mengikuti kitaran siang dan malam.

Ayam jantan mendahului matahari terbit untuk mendahului aktiviti mencari makanan sehari-hari dan juga untuk pertahanan wilayah. Namun, jika satu ayam jantan yang lain memiliki jam dalaman yang telah diatur sedikit lebih awal, ini dapat merangsang ayam jantan lain untuk berkokok lebih awal juga.

 

Kokokan ayam jantan ketikat matahari terbit sebenarnya adalah suatu cara untuk “membangun kekuasaan” wilayahnya. Ketika ayam berkokok, ia mengirimkan isyarat kepada ayam jantan yang lain bahawa jika melanggar, bererti mereka minta untuk bergaduh.

Fakta - Matikan Lampu Ketika Tidur, Antara Sains & Pesanan Rasulullah



Semakin malam semakin gelap tubuh kita akan merasa lelah dan mengantuk. Ini jelas wajar, sintesis dan sekresi hormon melatonin oleh kelenjar pineal meningkat seiring dengan semakinnya malam.
Hormon inilah yang menyebabkan kita menjadi mengantuk di malam hari. Fungsi dari rasa kantuk adalah sebagai isyarat positif tubuh agar segera mengistirahatkannya. Hormon yang mempengaruhi irama sirkadian ini kemudian akan menyesuaikan sehingga terjadi penyegerakan antara kitaran tidur dengan kitaran pergantian siang dan malam di alam sekitar.


Dari Jabir Bin Abdullah bahawasanya Rasulullah bersabda:

"Matikanlah lampu-lampu diwaktu malam jika kamu hendak tidur, dan tutuplah pintu-pintu, bekas serta makanan dan minuman kalian. (HR. Bukhari dan Muslim)

Seorang biolog, Joan Roberts mencari rahsia setelah melakukan percubaan pada haiwan. Ketika haiwan tersebut diberi cahaya buatan pada malam hari, melantonin nya (salah satu hormon dalam sistem kekebalan yang mampu memerangi dan mencegah berbagai penyakit termasuk kanser payudara dan kanser prostat) menurun dan sistem kekebalan tubuhnya lemah.

Rupanya, cahaya Lampu - seperti juga TV - menyebabkan hormon menjadi sangat lelah. Keadaan malam yang gelap diam-diam bekerjasama dengan tubuh. Hanya dalam keadaan yang benar-benar gelap tubuh menghasilkan melantonin. Sebaliknya, tidur dengan lampu menyala di malam hari - sekecil apapun sinarnya menyebabkan Pengeluaran hormon melantonin terhenti.

Tidur yang berkualiti dalam erti bahawa dalam selang masa selama kita tidur, otak kita benar-benar dalam keadaan berehat. Sinar cahaya saat kita tidur menjadikan kualiti tidur kita kurang baik, ini kerana sinar tersebut masih berperanan sebagai perangsang stimulator kerja otak.

Secara ilmiah, cahaya yang ada dalam bilik tidur akan menembus sampai bahagian mata kita walaupun dalam keadaan terlelap, sinar tersebut akan memasuki bilik stimulator yang nantinya direspon oleh otak. Dengan kata lain walaupun mata kita terpejam, tetapi jika ada cahaya yang bersinar maka otak kita akan bekerja untuk bertindak balas atau mengartikan cahaya yang masuk tersebut.

Tidur yang berkualiti di malam hari merupakan usaha pengoptimuman dalam detoksifikasi untuk meneutralkan toksin yang mengontaminasi tubuh. Detoksifikasi tubuh, terjadi terutama pada hati, tercapai optimum saat tidur. Mekanisme tersebut berkaitan erat dengan diproduksinya antioksidan sebagai penetral toksin. Pada tidur yang berkualiti, detoksifikasi hati dapat berjalan optimum, khususnya dalam pembentukan asid amino glutathione sebagai antioksidan yang meneutralkan stres oksidatif dan radikal bebas.


Mencegah Kanser Payudara

Tidur malam dalam bilik yang gelap benar-benar bermanfaat buat tubuh. Ahli biologi Joan Robert mengatakan tubuh baru boleh menghasilkan hormon melatonin ketika tidak ada cahaya. Hormon ini adalah salah satu hormon kekebalan tubuh yang mampu memerangi dan mencegah berbagai penyakit termasuk kanser payudara dan kanser prostat.

Malangnya, hormon melatonin ini tidak akan muncul jika orang tidur malam hari dengan lampu menyala. Adanya cahaya atau sinar membuat pengeluaran hormon melatonin akan berhenti.

Dengan mematikan lampu ketika tidur malam hari, bukan hanya menjimatkan tenaga tetapi juga meningkatkan kesihatan tubuh. Maka itu tidur malam sambil nonton TV juga sangat tidak disyorkan.

Pengamal kesihatan yang lain, Lynne Eldridge MD yang juga penulis buku 'Avoiding Cancer One Day At A Time' juga menuliskan perempuan buta 80 peratus lebih kecil terkena risiko kanser payudara berbanding rata-rata perempuan lain. Diduga faktor hormon melatonin yang banyak ditubuhnya kerana penglihatan yang gelap membuatnya punya daya tahan tubuh yang lebih tinggi.

Pentingnya tidur malam hari dengan mematikan lampu baru-baru ini juga diteliti oleh para saintis dari Inggeris dan Israel. Penyelidik mendapati ketika cahaya dihidupkan pada malam hari, boleh menyebabkan ekspresi berlebihan dari sel-sel yang dikaitkan dengan pembentukan sel kanser.

Para saintis mendakwa jika seseorang terbangun di malam hari dan menyalakan lampu selama beberapa saat, maka boleh menyebabkan perubahan biologi yang mungkin mengarah ke kanser.

Jika pada penelitian sebelumnya tidur malam dengan lampu terang dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara dan kanser prostat. Maka pada penelitian terbaru ini menunjukkan paparan jangka pendek juga boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser.

"Orang-orang yang bangun di malam hari disyorkan untuk tidak menyalakan lampu. Kami percaya bahawa setiap kali menyalakan cahaya buatan pada malam hari akan mempunyai kesan pada biologi tubuh, kerana ini adalah mekanisme yang sensitif," ujar Dr Rachel Ben-Sclomo dari University of Haifa.

Dr Rachel menambah bahawa ini adalah penemuan terbaru dan masih sebatas penelitian pendahuluan. Namun kini ia dan pasukan tengah menganalisa wilayah ini secara lebih terperinci. Keputusan ini juga telah dilaporkan dalam jurnal Cancer Genetics and Cytogenetics.

Anak-anak yang tidur dengan lampu menyala berisiko mengidap leukemia.
Para saintis mendapati bahawa tubuh perlu suasana gelap dalam menghasilkan bahan kimia pelawan kanser. Bahkan ketika menyalakan lampu toilet, begadang, mengembara melintas zon masa, lampu-lampu jalan boleh menghentikan pengeluaran zat melatonin.

Tubuh memerlukan zat kimia untuk mencegah kerosakan DNA dan ketiadaan zat melatonin tersebut akan menghentikan asid lemak menjadi tumor dan mencegah pertumbuhannya.

Prof. Russle Reiter dari Texas University yang mengetuai kajian tersebut mengatakan "Sekali anda tidur dan tidak mematikan lampu selama 1 minit. Otak anda akan mengesan bahawa lampu menyala seharian dan pengeluaran zat melatonin menurun ".

Jumlah anak-anak pengidap leukimia naik menjadi dua kali ganda dalam kurun 40 tahun terakhir. Sekitar 500 anak muda di bawah 15 tahun didiagnosis menderita penyakit ini setiap tahun dan kira-kira 100 orang meninggal.

Sebuah persidangan tentang anak penderita leukimia diadakan di London menyatakan bahawa orang menderita kanser akibat terlalu lama memakai lampu waktu tidur dimalam hari berbanding dengan yang tidak pernah memakai lampu waktu tidur.

Hal ini menekan pengeluaran melatonin di mana biasanya terjadi antara pukul 21.00 9 s / d pukul 20.00. Penelitian terdahulu telah menunjukkan bahawa orang-orang yang paling mudah diserang adalah para pekerja shift yang mempunyai risiko terkena kanser payudara.

Pada kenyataannya, Orang-orang buta tidak terdedah kepada melatonin mempunyai risiko yang lebih rendah menghidap kanser. Maka orang-orang tua disyorkan utk menggunakan bola lampu yang suram berwarna merah atau kuning jika anak-anaknya takut pada kegelapan.

Keajaiban Hadis Lalat Mendahului Kajian Saintifik



Keajaiban Hadis Lalat Mendahului Kajian Saintifik

Pernahkah anda mendengar Hadith Rasulullah SAW mengenai Lalat,di dalam sebuah hadith Baginda SAW menjelaskan bahwa jika ada lalat yang jatuh ke dalam minuman, kita hendaklah mencelupkan lalat tersebut sepenuhnya ke dalam minuman kemudian membuangnya, kerana diantara salah satu sayapnya mempunyai racun dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penawar.


Hadis Lalat Dan Sains

Mengikut riwayat Bukhari dari Abu Hurairah, nabi bersabda, “Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minum salah seorang antara kamu, celuplah dan kemudian buanglah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar dan di sebelah sayapnya yang lain mempunyai penyakit.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Benarkah pada lalat terdapat punca-punca penyakit serta penawar?
Lalat memang dikenali di seluruh dunia. Pada tahun 1964, ahli-ahli sains mengenal pasti 80,000 spesies lalat di seluruh dunia. Lalat rumah dikenali sebagai Musca domestica. Lalat ini mudah ditemui di mana-mana termasuk di kepulauan Arab. Luther West dalam buku The Housefly – Its Natural History, Medical Importance, And Control, terbitan New York pada tahun 1951, menyatakan lalat jenis Musca domestica banyak terdapat di kawasan Timur Tengah. Justeru, apabila nabi bersabda tentang lalat, besar kemungkinan baginda sedang menceritakan tentang lalat dari jenis ini.

Lalat buah atau fruit-flies yang kadang kala dikenali juga sebagai lalat arak atau wine flies serta lalat cuka atau vinegar flies, juga banyak terdapat di Timur Tengah. Jenis yang agak terkenal daripada kumpulan ini ialah yang bernama Drosophila melanogaster. Kajian di dalam bidang entomologi mendapati lalat jenis ini jinak dengan manusia dan sering terdapat di kawasan buah-buahan yang banyak berlaku proses fermentasi. Justeru, arak merupakan tarikan kepada lalat jenis ini. Di samping itu ia juga menyukai suhu yang tinggi seperti yang disebutkan oleh Harold Oldroyd dalam buku The Natural History of Flies. Mekah dan Madinah mempunyai suhu yang tinggi. Persekitarannya subur dengan pohon-pohon kurma dan anggur dan kedua-dua ini digunakan untuk membuat arak. Minuman arak, apatah lagi di zaman jahiliah, merupakan budaya hidup orang-orang Arab. Tidak akan meriah sesuatu majlis tanpanya. Orang Arab begitu memuja arak hinggakan bahasa arab mempunyai lebih kurang 250 kalimat yang melambangkan arak. Hal ini disebutkan dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka. Ketika Islam datang arak belum diharamkan. Islam hanya mengharamkannya selepas berlakunya hijrah ke Madinah dan selepas diwajibkan ibadah solat. Justeru, persekitaran yang seperti ini yang kaya dengan arak cukup sesuai untuk pembiakan lalat Drosophila melanogaster.

Apa yang signifikan ialah, lalat daripada kedua-dua jenis ini, iaitu Musca domestica dan Drosophila melanogaster (terutamanya Drosophila melanogaster), menjadi bahan kajian utama para ahli sains pada hari ini bertujuan untuk mengenali penyakit-penyakit manusia serta penawar baginya. Justeru, fokus nabi tentang lalat dalam konteks penyakit dan penawar, amat relevan dengan isu kesihatan dan perubatan pada hari ini.


Lalat dan Penyakit

Sabda nabi yang bermaksud, “Pada sebelah sayapnya mengandungi penyakit,” adalah satu pernyataan umum yang menunjukkan lalat merupakan agen pembawa penyakit kepada manusia. Ia juga mengisyaratkan bahawa lalat mengandungi banyak kuman yang memudaratkan. Sabda nabi ini hanya dapat difahami pada abad-abad terkemudian. Pada tahun 1577, Mercurialis melontarkan pandangan tentang kemungkinan lalat merupakan serangga pembawa penyakit kepada manusia, tetapi pendapat ini tidak dapat dikukuhkan dengan bukti. Hanya pada abad kesembilan belas sahaja kajian yang mendalam dilakukan untuk mengesahkan perkara ini, contohnya, kajian yang dilakukan oleh Profesor J. Leidy pada tahun 1871. Beliau yang merupakan seorang pakar dalam bidang ilmu serangga atau entomologist mendapati lalat adalah pembawa pelbagai kuman kepada manusia. Pada tahun 1929, H.Y. Yao, I.C. Yuan dan D. Huie mengkaji lalat-lalat di Beijing dan mendapati luarannya mengandungi lebih kurang 3,683,000 kuman bakteria dan dalamannya mengandungi 6-8 kali ganda kuman berbanding luarannya. Hal ini disebutkan dalam buku Insect Immunology oleh Edward A. Steinhaus terbitan New York.

Pada tahun 1912, risalah pendidikan kesihatan di Amerika memperkenalkan lalat sebagai ‘serangga paling berbahaya yang pernah dikenali manusia selama ini’. Lalat dikenal pasti sebagai agen pembawa penyakit demam kepialu, taun, cirit birit, sakit mata, dan banyak lagi.


Lalat Memiliki Penawar

Sabda nabi, “Dan pada sebelah sayap (lalat) ada penawar,” menunjukkan, walaupun lalat ialah agen pembawa kuman serta penyakit, namun tubuh lalat yang sama juga memiliki penawar serta bahan anti kuman yang bermanfaat bagi manusia.

Hal ini disahkan oleh para saintis pada abad ke-20. Sebagai contoh, Shope pada tahun 1927, dan Glaser 1938, mendapati ada kuman-kuman virus dalam badan lalat yang berfungsi membunuh kuman-kuman bakteria. Kajian ke atas lalat rumah Musca domestica menunjukkan, ia mengandungi virus bacteriophage yang mampu membunuh kuman-kuman Staphylococcus muscae, Escherichia coli, Salmonella paratyphi dan Eberthella typhosa yang menjadi penyebab kepada penyakit cirit birit dan demam kepialu. Inilah penemuan virus bacteriophage yang pertama di dalam serangga dan ia merangsang kepada penemuan-penemuan yang lain.

Sebelum itu, pada tahun 1926, J.I. Duncan menemui bahan-bahan aktif pembunuh bakteria di dalam usus lalat rumah. Pada tahun 1939 pula, Lal, Ghosal dan Mukherji mendapati lalat mampu mengubah kuman taun vibrio cholera kepada bentuk yang lain yang tidak berbahaya. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku The Housefly – Its Natural History, Medical Importance, And Control oleh Luther West.

Penemuan sains pada abad ke-20 juga menyedarkan manusia tentang betapa benarnya sabda nabi yang bermaksud, “Celuplah lalat itu kerana pada sebelah sayapnya mengandungi penawar.” Pusingan hidup lalat bermula dengan telur. Telur menetas dan mengeluarkan larva, kemudiannya berubah kepada pupa dan kemudian barulah menjadi lalat dewasa. Semua ini adalah proses yang perlu dilalui oleh seekor lalat. Lalat di dalam bentuk larva (maggots) amat bermanfaat pada manusia.

Sebagai contoh, M.A. Stewart, pada tahun 1934, mendapati lalat berbentuk larva, ketika ‘dicelupkan’ ke dalam luka-luka, mengeluarkan bahan ammonia dan kalsium karbonat yang menjadikan luka itu alkali. Di dalam keadaan ini kuman-kuman dapat dibunuh di samping meredakan bengkak serta mencegah kematian sel-sel. Di samping itu larva-larva ini berperanan menelan kuman-kuman bakteria dan membunuhnya. S.W. Simmons pada tahun 1935 pula mendapati, lendir yang dikeluarkan oleh larva mampu membunuh kuman-kuman bahaya seperti Staphylococcus aureus, Haemolytic streptococci dan Clostridium welchii. Tambahan daripada itu, pada tahun yang sama, W. Robinson mendapati larva juga mengeluarkan allantoin. Allantoin merupakan bahan protein yang membantu pertumbuhan sel-sel. Penemuan-penemuan ini dilaporkan dalam buku Insect Immunology karangan Edward Steinhaus.

Penemuan-penemuan ini menjadikan larva lalat begitu popular digunakan bagi merawat luka-luka terutamanya pada tahun 1930-an. Walau bagaimanpun popularitinya mula menurun selepas penemuan ubat-ubat antibiotik. Baru-baru ini, bermula tahun 1982, penggunaan larva menjadi popular semula berdasarkan kajian-kajian saintifik terkini. Hal ini dilaporkan oleh Fakulti Perubatan Universiti Indiana di www.soundmedicine.iu.edu.


Sebagai contoh, ia dicadang untuk digunakan bagi merawat luka disebabkan kencing manis. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Diabetes Health terbitan Mac 1995. Antara institusi perubatan yang telah menggunakan pendekatan ini ialah Long Beach Veterans Affairs Medical Center. Di Belanda pula pakar-pakar perubatan melaporkan mereka berjaya merawat sebelas kes luka yang teruk dengan menggunakan larva lalat. Kaedah ini berjaya mengawal infeksi kuman dan menyelamatkan kes-kes ini dari pembedahan amputasi. Hal ini dilaporkan dalam jurnal Clinical Infectious Diseases.

Kuasa penawar yang ada pada lalat memang menakjubkan. Dalam sebuah buku karangan Dr. Ghyath Hasan al-Ahmad bertajuk al-Tibb al-Nabawi fi Daw al-Ilm al-Hadith (Prophetic Medicine in the Light of Modern Science) terbitan tahun 1955, dilaporkan tentang satu eksperimen yang dilakukan oleh Dr. Nabîh Da’ish di Universiti Raja Abdul Aziz di Riyadh. Beliau menyediakan sepuluh kultur bakteria (bacterial cultures) dan dimasukkan seekor lalat ke dalamnya tanpa dicelupkan lalat itu ke dalam kultur. Beliau kemudiannya menyediakan 10 lagi kultur bakteria dan dimasukkan serta dicelupkan lalat ke dalamnya sebanyak sekali. 

Selepas itu disediakan pula lagi 10 kultur bakteria dan pada kali ini lalat dicelupkan ke dalam kultur sebanyak dua kali. Perbuatan ini disusuli dengan penyediaan 10 lagi kultur bakteria dan lalat dicelupkan ke dalamnya sebanyak tiga kali. Dr. Nabîh Da’ish mendapati kuman terus hidup dan membiak dalam kultur yang pertama yang mengandungi lalat yang tidak dicelup. Dalam kultur yang kedua kuman-kuman tidak mampu membiak malah sebahagiannya terbunuh dan aktiviti antikuman ini meningkat dalam kultur ketiga dan keempat. Penemuan ini menunjukkan pengeluaran bahan antikuman tertentu oleh lalat ada perkaitan dengan perbuatan mencelup lalat ke dalam cecair. Ia selari dengan sabda nabi yang disebutkan sebelum ini.

Cara Mujarab Elak Penyakit Kencing Manis



Penyakit kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Penyakit kencing manis ialah suatu keadaan yang mana terdapatnya ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat rintang terhadap insulin. Insulin ialah suatu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein. Ia bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Insulin juga menyebabkan lipogenesis, iaitu pembentukan trigliserida dan lemak.

Ia juga menghalang pemecahan lemak dan meningkatkan penghasilan glukosa dalam hati. Perubahan Cara Hidup Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis dan mengawal tahap gula dalam darah. Pesakit kencing manis dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dan mengawal kencing manis dengan melakukan beberapa perkara seperti di bawah.

a) Pemakanan
Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori pada sesehari itu terkawal. Berbincanglah dengan doktor atau pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.

b) Senaman
Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (kardiorespiratori). Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.

c) Penjagaan berat badan
Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.

d) Pemeriksaan diri sendiri
Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.

e) Pemeriksaan Doktor dan Ubat
Pemeriksaan oleh doktor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti dilakukan secara berterusan. Ini membolehkan penghidap kencing manis memastikan bahawa tahap gula dalam darah adalah terkawal. Dianggarkan bagi setiap 1 peratus pengurangan kadar ujian darah A1 C, mampu menurunkan masalah berkaitan kencing manis sebanyak 40 peratus. Penjagaan anggota kaki dan tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan oleh komplikasi jangkitan sebanyak 45 hingga 85 peratus.

Kekerapan membuang air kecil boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti:
Kencing manis yang tidak terkawal dan tahap gula tinggi dalam darah
Jangkitan kuman atau kencing kotor
Kerosakan buah pinggang
Masalah pundi kencing sama ada gangguan saraf atau masalah pundi kencing seperti pundi kencing yang terlalu aktif, disyorkan agar berjumpa doktor untuk pemeniksaan selanjutnya.

Mendidik Isteri Cara Rasulullah



Sebagai seorang suami kita perlu arif dalam mendidik isteri dengan cara lemah lembut. Mari kita sama-sama ketahui apakah cara Rasulullah SAW dalam mendidik isterinya.

Mendidik Isteri Cara Rasulullah SAW | Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Allah SWT bekalkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan. Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, ditambah pula dengan kesabaran serta kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, seorang suami akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.

Firman Allah SWT:

“Lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan sebahagian daripada hartanya.”

Kebahagiaan rumahtangga dapai diraih apabila suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri. Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita, lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan seseorang itu mudah hilang sabar, mudah berprasangka, pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung dan sebagainya. Pendek kata, hasil dorongan nafsu itulah lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah isteri mesti dipandu atau dibimbing oleh suami agar segala tindak tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.

Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak mahu suami terpaksa mempelajari sedikit sebanyak ilmu untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulah nanti dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang mencabar kesabaran suami.

Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran. Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran tanpa kebijaksanaan menyebabkan suami menurut saja kemahuan isteri sehingga isteri lupa daratan. Manakala kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas dan boleh mencederakan isteri.

Maknanya, tanpa kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu diusahakan melalui latihan berpandukan ilmu tasauf. Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan tua yang suka mengganggu Rasulullah SAW.

Tatkala Rasulullah SAW lalu di sebelah rumahnya, perempuan tua itu akan membaling sampah kepada Rasulullah SAW. Adakalanya dia menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan yang akan dilalui oleh Rasulullah SAW. Bahkan pernah juga dia membaling najis semasa Baginda lalu di sebelah rumahnya. Namun sedikit pun tidak dipedulikan oleh baginda. Suatu hari Rasulullah SAW rasa pelik kerana perempuan tua itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan. Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya kepada jiran perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit. Lalu Baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk berziarah. Rasulullah SAW bertanyakan khabar dan tolong memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak Baginda yang sanggup menziarahi dan membantunya tatkala dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar, Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu, menyebabkan terbuka hatinya untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Dalam peristiwa yang lain, pernah Rasulullah SAW melintasi sekumpulan kaum perempuan, lalu Baginda memberi salam. Namun tiada seorang pun yang menjawab salam baginda. Rasulullah SAW memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang pertama dan kedua, mereka menjawab: “Kami sengaja mahu Rasulullah SAW mendoakan untuk kami.”

Begitu Rasulullah SAW mendidik kaum wanita. Walaupun sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi Baginda masih dapat menunjukkan akhlak yang paling baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum perempuan yang pendek akalnya, kaum lelaki mudah naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu perkara. Tetapi kaum lelaki mestilah menyedari hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah pemikirannya. Oleh itu, suami mestilah bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.

Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya tentang mandi hadas. Rasulullah SAW menjawab:

“Ambillah sepotong kain perca yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.” Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi pertanyaannya: “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum memahaminya. Lalu Rasulullah SAW meminta kepada Siti Aishah r.a. supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti Aishah pun berkata: “Ambil sepotong kapas yang bersih, lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap putih tanda haid sudah berhenti.”

Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai ciri pengasih, sekalipun jika dia seorang pemimpin. Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama isteri, suami hendaklah merendahkan sifat egonya, seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah SAW tatkala bersama Siti Aishah.

Sewaktu Rasulullah SAW dinikahkan dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari. Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya Rasulullah menang. Bermakna sewaktu bersama isteri, adakalanya Rasulullah melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabatnya sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan isteri.

Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami. Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat dan perjuangan terpaksa diketepikan. Sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh kerana wanita seringkali bertindak mengikut perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu, emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar, mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.

Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah tatkala isteri sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain). Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya kendur.

Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Bukanlah untuk menggalakkan suami mengambil kesempatan melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di belakang isteri. Tetapi jika perkara yang disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat, memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya. Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah SAW.

Suatu hari isteri-isteri datang menemui Baginda, dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya: “Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?” Rasulullah SAW tersenyum mendengar pertanyaan itu. Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan Baginda menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji akan memberikan jawapannya kemudian. Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini diakui oleh Allah SWT. Tetapi suami mestilah pandai memainkan peranannya supaya jangan ada di kalangan isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang tertentu. Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa Rasulullah SAW mendatangi isteri-isterinya mengikut giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu. Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya, setiap seorang baginda hadiahkan sebentuk cincin dan baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada isteri-isteri yang lain.

Pada hari yang telah ditetapkan Rasulullah SAW menyuruh isteri-isterinya berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada persoalan yang dikemukakan. Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang paling disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda di antara mereka. Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah SAW, Baginda pun berkata, “Isteri yang paling disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.” Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami, pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka berleter atau setengah orang kata macam mulut murai. Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah, tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut. Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur, barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada kala panas terik. Rasulullah SAW juga pernah berhadapan dengan kerenah perempuan yang suka berleter. Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi peluang kepada perempuan tersebut meluahkan ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah. Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya terlalu pengasih terhadap suami dan anak-anak. Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini bukan sahaja tidak membebankan suami dengan masalah-masalahnya, bahkan dia akan berusaha untuk menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah.”

Apabila wanita dapat dididik dengan betul, maka ia dapat memberi kebaikan yang besar kerana di tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang. Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang solehah boleh membahagiakan seisi alam. Semoga kaum lelaki terutamanya dapat memberikan didikan yang sempurna kepada isterinya.

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi