MANGSA histeria bagaikan dapat melihat kelibat makhluk halus. Masyarakat percaya mangsa dirasuk kerana menceroboh ‘kediaman’ makhluk ghaib
“Ketika itulah jiwa seseorang itu menjadi lemah dan ia mudah dirasuk unsur ghaib seperti makhluk halus atau jin sehingga menyebabkan dia melolong, meracau dan meronta ketakutan atau dikenali sebagai histeria,” kata Pengamal Pengubatan Islam Darussyifa’, Mohd Fauzi Mustaffa ketika memberi penerangan mengenai kejadian histeria.
Histeria sememangnya menimbulkan misteri yang amat membingungkan dalam masyarakat terutama ketika memikirkan sama ada ia sekadar gangguan psikologi biasa atau membabitkan pengaruh unsur mistik dan makhluk ghaib.
Bagi Mohd Fauzi yang pernah berhadapan dan merawat pesakit histeria, gejala itu akibat gabungan gangguan psikologi iaitu tekanan perasaan dan juga pengaruh unsur ghaib.
Histeria lebih ketara berlaku apabila pesakit itu berada di kawasan ‘kediaman’ jin terbabit seperti di dalam hutan, padang atau tepi tasik. Pesakit mungkin secara tidak sengaja mengganggu atau merosakkan kawasan rumah makhluk halus terbabit menyebabkan ia marah dan merasuk diri pesakit seterusnya menyebabkan histeria,” katanya.
Beliau berkata, apabila histeria berlaku, pesakit tidak lagi sedarkan diri atau mengetahui apa yang mereka lakukan. Mereka akan melolong, menjerit, cemas, nafas tercungap-cungap dan meronta ingin melarikan diri.
“Wajah mereka juga ketakutan seolah-olah ternampak sesuatu yang menyeramkan dan memang mereka dapat melihat makhluk halus itu; mereka juga memiliki kekuatan luar biasa sehingga sampai 10 orang pun tidak dapat mengekang pergerakan mangsa.
“Kekuatan itu berasal daripada makhluk ghaib terbabit malah kadangkala rasukan menyebabkan mereka meracau dengan suara atau bahasa pelik. Mereka tidak sedar apa yang dilakukan ketika histeria menyebabkan apabila pulih, mangsa kelihatan bingung,” katanya.
Apabila seseorang itu mengalami histeria, gangguan itu dengan pantasnya akan merebak dan berjangkit kepada rakan atau kelompok manusia yang ada berhampirannya. Ia mampu merebak kerana jin yang mencetuskan histeria itu banyak malah kelompok manusia yang dirasuk juga turut memiliki tahap psikologi sama iaitu turut memendam tekanan dan kebimbangan.
“Terdapat kaedah dalam perubatan Islam mampu memulihkan mereka ini. Sebenarnya, jika tidak dirawat pun pesakit histeria ini mampu pulih dengan sendirinya selepas satu tempoh masa lama apabila jin yang merasuk itu keluar dan pesakit kembali sedar.
“Akan tetapi dia berisiko dirasuk kembali atau mengalami histeria semula; cara terbaik adalah dengan mencegahnya iaitu pesakit perlu tabah menghadapi dugaan hidup, sentiasa reda dengan ketentuan Allah, tidak berputus asa dan lemah semangat serta memperbanyakkan mengingati Allah kerana jiwa yang kosong tanpa mengingati Allah mudah dirasuk syaitan,” katanya.
Mungkin ramai tidak tahu bahawa selain wanita, ada juga lelaki, kanak-kanak atau bayi yang histeria tetapi gejala itu lebih ketara di kalangan wanita kerana golongan itu diciptakan Tuhan sebagai insan yang memiliki fizikal dan emosi yang lemah.
Wanita juga mengalami ‘keuzuran’ pada setiap bulan menyebabkan mereka tidak dapat beribadat dan lebih terdedah kepada serangan jin dan syaitan tambahan pula darah termasuk darah haid sememangnya menjadi makanan bagi golongan jin.
Bagi pakar psikologi, Profesor Dr Syed Hassan Ahmad Al Mashoor, unsur mistik seperti rasukan jin sememangnya tidak dinafikan wujud sebagai satu daripada punca histeria tetapi masyarakat perlu membezakan antara histeria yang berlaku akibat tekanan perasaan serta konflik emosi dengan histeria akibat rasukan jin.
“Kita tidak boleh nafi pengaruh makhluk halus dalam kehidupan tapi biarlah setiap usaha itu dibuat secara rasional supaya tidak sentiasa menyalahkan satu sebab saja (rasukan jin) dalam kes histeria.
“Jika puncanya berkaitan perubatan seperti penyakit sawan, salah guna dadah seperti ecstasy atau disebabkan penyakit mental seperti skizofrenia, ia dikatakan ‘gangguan perubatan’ tapi jika puncanya tekanan perasaan dan konflik emosi semata-mata, ia dikatakan ‘gangguan psikologi’,” katanya.
Dr Syed Hassan berkata, dari perspektif psikologi, histeria lazimnya berpunca dari tekanan emosi berpanjangan yang tidak dapat dibendung lagi malah mangsa kurang mendapat sokongan moral dan material dari keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.
“Wanita lebih kerap histeria kerana lebih banyak memendam keresahan dan kemurungan serta tidak meluahkan tekanan emosi mereka. Lelaki pula lebih tabah dan lasak, jika mereka menghadapi stres, mereka ada saluran meluahkan tekanan emosi itu sama ada menerusi kemarahan, perlakuan agresif atau melakukan perkara tidak diingini seperti berjudi,” katanya.
Beliau berkata, untuk menghindari histeria, mereka yang bermasalah perlu dikenal pasti seawal mungkin dan diberi bantuan moral bagi meredakan tekanan perasaan dan gangguan konflik yang dialami.
Dari sudut psikologi:
• Histeria dari sudut kesihatan psikologi ditakrifkan sebagai gangguan kesihatan di mana tahap kesedaran orang yang terbabit berubah dan dia tidak ingat apa yang berlaku.
Mangsa menunjukkan perilaku, emosi dan pemikiran yang tidak normal:
• Berjangkitnya histeria ke khalayak ramai kerana golongan itu memiliki banyak persamaan seperti corak tekanan sama, contoh murid sekolah dan pekerja kilang; usia sebaya; lazimnya sama jantina.
Media massa yang menggembar-gemburkan peristiwa histeria juga turut meningkatkan berlakunya gangguan ini apabila ia turut mempengaruhi tanggapan masyarakat:
• Fenomena histeria adalah kesan dari tekanan perasaan dan konflik emosi yang tidak terkawal. Mangsa tidak sedar apa yang berlaku tetapi dengan bantuan dan sokongan moral serta galakkan untuk kembali memuhasabah diri secara lebih realistik dan pragmatik, lazimnya mangsa akan beransur pulih.
• Jika terdapat tanda keresahan dan kemurungan, ubatan bagi mengawal tanda itu boleh membantu dan mempercepatkan proses pemulihan serta mencegah berulangnya kejadian histeria. Walau apa pun yang diusahakan, tawakal kepada Allah SWT sahajalah yang akhirnya dapat menentukan segala-galanya.
Dari sudut unsur ghaib:
• Berbeza dengan saka, santau atau sihir, histeria disebabkan makhluk halus yang tidak bertuan. Kebiasaannya makhluk itu merasuk mangsa bagi membalas perbuatan mangsa yang mengganggu atau merosakkan kediaman mereka seperti di pandang atau hutan.
• Jin atau makhluk halus ini merasuk dan mengganggu minda mangsa sehingga menyebabkan mangsa tidak sedar apa yang berlaku dan hilang kawalan diri.
• Jenis tekanan yang boleh mencetuskan histeria adalah bimbang keterlaluan (contohnya pelajar yang ingin mengambil peperiksaan); ketegangan terlampau yang tidak diluahkan (mangsa memendam tekanan dan perasaan marah tanpa diluahkan, contohnya mangsa buli atau teraniaya); menghadapi tekanan dalam keluarga yang berpecah belah dan berkonflik sehingga hidup tidak tenang; tekanan tempat kerja; tekanan dalam rumah tangga.
• Mereka yang memiliki kekuatan rohani jarang histeria selain kuat beribadat, sabar, tidak berputus asa.
• Bayi atau kanak-kanak turut histeria tapi mereka hanya meraung ketakutan dan jari mungkin menunjuk ke arah suatu arah. Lelaki yang histeria pula kelihatan seperti sedang amuk.
• Petua apabila berhadapan dengan histeria: asingkan pesakit daripada orang ramai; cuba azankan di telinga pesakit; baca surah al-Fatihah, ayat 115 hingga 116 dari surah al-Mukminun, ayat tiga qul dan tiupkan di telinga dan muka pesakit; jika ada air Yaasin, sapu atau semburkan ke muka pesakit.
Apabila pesakit kelihatan sedar, suruh dia mengucap, jika tidak dapat mengucap, maknanya jin itu masih merasuknya. Baca juga doa Nabi Sulaiman supaya didengari pesakit.
0 comments:
Post a Comment