Berbuka Segera Jika Alami "HIPOGLISEMIA"



Minggu ini merupakan minggu pertama umat Islam di negara ini akan mula melaksanakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.

Sungguhpun begitu, terdapat golongan yang diberikan kelonggaran daripada melaksanakan ibadat tersebut berikutan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Pesakit yang berdepan dengan isu kesihatan seperti kesakitan fizikal, kegagalan buah pinggang dan tekanan darah tinggi yang tidak terkawal tidak boleh berpuasa dengan cara selamat.

Salah satu golongan yang diberikan kelonggaran ialah penghidap diabetes. Bergantung kepada peringkat keadaan tertentu, sesetengah penghidap penyakit itu dikhuatiri akan mendatangkan mudarat terhadap kesihatan jika berpuasa.

Namun, ada segelintir daripada mereka yang tekad mahu melaksanakan kewajipan tersebut tanpa menghiraukan risikonya.

Masalah yang sering dihadapi oleh pesakit diabetes ketika Ramadan adalah serangan hipoglisemia.

Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi Pusat Perubatan Sime Darby, Profesor Chan Siew Pheng hipoglisemia merujuk kepada keadaan apabila kandungan glukos berkurangan dalam darah dan berada di bawah paras normal.

“Ramai pesakit diabetes tetap mahu berpuasa walaupun keadaan mereka sebenarnya tidak mengizinkan. Semuanya kerana mahu memenuhi tuntutan agama.

“Selaku doktor, kami akan bertanya kepada pesakit sama ada mereka larat untuk berpuasa atau tidak. Ada antara mereka yang meminta pendapat bagi memastikan sama ada keadaan mereka membolehkan mereka berpuasa dengan selamat atau sebaliknya,” katanya.

Tambahnya, doktor akan cuba membantu supaya pesakit diabetes tersebut dapat berpuasa dengan memberikan panduan dan mengajar mereka cara untuk berpuasa dengan selamat.

Siew Pheng menambah, menempuh bulan puasa sebenarnya merupakan satu masalah kepada pesakit diabetes kerana mereka tidak boleh makan dan minum pada siang hari.

Ia merupakan perubahan besar dalam corak pengambilan makanan, kalori, ketika berbuka puasa sehingga mereka bangun sahur untuk hidangan seterusnya.

“Jika mereka tidak bangun sahur, tempoh berpuasa mereka lebih lama berbanding orang lain yang berpuasa normal iaitu melebihi 14 jam.

“Keadaan ini merunsingkan kami kerana tindakan tersebut akan menyebabkan hipoglisemia yang mengundang keadaan kemerosotan glukos dalam darah selain terdedah kepada risiko dehidrasi kerana cuaca di negara ini yang panas,” ujarnya.

Ujarnya, apa yang menjadi kebimbangan adalah apabila paras glukos dalam darah pesakit diabetes akan jadi terlalu tinggi atau terlalu rendah.

Paras glukos yang tinggi mungkin disebabkan salah makan kerana berbuka dengan mengambil banyak minuman dan makanan manis serta lupa mengambil ubat.

Walaupun seharian berpuasa, pesakit diabetes tidak boleh mengambil gula dalam kuantiti yang banyak.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...