BERSYUKUR kepada Allah SWT atas nikmat serta keizinan-Nya, dapat juga saya bersama bonda Arpah Mohd Nor menunaikan umrah bersama jemaah yang mengikuti program kendalian Persada Oasis Travel & Tours.
Mudah-mudahan ibadah umrah yang dilaksanakan akan menjadi penebus dosa buat kami, sebagaimana sabda baginda SAW di dalam hadisnya, yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: satu umrah kepada umrah lain adalah penebus bagi dosa yang ada di antara keduanya…” (Riwayat Al-Bukhari)
Jika diimbas sejarah awal kota Makkah, orang pertama menduduki kota suci ini adalah Ismail AS sebelum menjadi nabi bersama ibunya Siti Hajar, tatkala mereka berdua ditinggalkan ayahnya Nabi Ibrahim AS di lembah kering kontang itu.
Sebagai tanda keagungan Allah SWT bagi memelihara Ismail dan ibunya, Siti Hajar, dikeluarkan satu mata air dikenali sebagai air zam zam di tengah padang pasir yang tandus.
Dalam ruangan kali ini, suka untuk saya berkongsi kisah mengenai air zam zam yang penuh berkat ini, sebagai tanda keagungan Allah SWT bagi yang berfikir.
Ibnu Abbas RA meriwayatkan, bahawasanya Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan puteranya Ismail di satu lembah di tengah padang pasir yang tandus.
Di kala itu, tidak ada seorang pun menduduki kawasan berkenaan dan tidak ada sumber air di sana. Ibrahim AS meninggalkan kedua-duanya di sana dan hanya memberi bekalan dua kantung yang satunya berisi kurma dan satu lagi berisi air.
Sewaktu Nabi Ibrahim AS ingin meninggalkan kedua-duanya, lalu Siti Hajar mengejarnya seraya berkata: “Wahai Ibrahim, ke mana kamu akan pergi dan meninggalkan kami di lembah yang tidak ada manusia dan sesuatu pun di dalamnya?” Dia mengatakan hal itu berkali-kali, sementara Ibrahim AS tidak menoleh kepadanya.
Tiba-tiba Hajar berkata: “Adakah Allah memerintahkan kamu dengan ini?” Maka Ibrahim AS menjawab: “Ya.”
Kemudian Siti Hajar berkata: “Kalau begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kami.” Lantas dia kembali kepada Ismail dan berangkatlah Ibrahim sehingga kedua-duanya hilang daripada pandangan mata.
Selepas itu, Nabi Ibrahim menghadap ke arah lembah berkenaan dan mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa, seperti yang termaktub dalam kitab al-Quran iaitu surah Ibrahim, ayat 37, yang bermaksud: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumahMu (Baitullah Al-Haram) yang dihormati, wahai Tuhan kami (yang demikian itu) supaya mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.”
Dua kantung air ditinggalkan Nabi Ibrahim AS sememangnya diketahui tidak cukup untuk keperluan seseorang. Lantaran kehausan, Ismail menangis kerana lapar dan dahaga. Melihat keadaan anaknya sedemikian, Siti Hajar pergi mencari air.
Dia berjalan menuju Bukit Safa dan Marwah dengan harapan dapat bertemu pedagang yang membawa air. Setelah berulang-alik sebanyak tujuh kali di antara dua bukit itu, Siti Hajar tidak bertemu sesiapa pun.
Berkata Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Maka itulah saie manusia (orang haji dan umrah) antara kedua-duanya (Safa dan Marwah).”
Kemudian apabila Siti Hajar naik ke Bukit Marwah, dia terdengar satu suara lalu dia berkata di dalam hati: “Sesungguhnya aku mendengar-Mu, jika engkau dapat memberi pertolongan, tolonglah kami.”
Tiba-tiba dia ternampak Malaikat di samping anaknya Ismail. Malaikat itu menggali tanah dengan tumit atau sayapnya sehingga terpancutlah air iaitu air zam zam.
Dengan peristiwa yang penuh pengajaran ini, akhirnya dirakamkan di dalam al-Quran, dalam surah Al-Baqarah ayat 158, yang bermaksud: “Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar Allah. Barang siapa beribadah haji ke Baitullah atau melaksanakan umrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan saie antara keduanya…”
Saie satu rukun haji dan umrah, tanpanya kedua-dua ibadah dikira tidak sah.
Air zam zam pula diberi nama kerana banyaknya air ini dan dikatakan juga kerana kepungan dilakukan Siti Hajar untuk mengepung air yang keluar.
Begitulah kehebatan kisah permulaan air zam zam yang penuh berkat serta ibadah saie, rentetan kesusahan Siti Hajar berulang-alik dari Safa ke Marwah mencari air di tanah yang panas terik.
Hikmahnya, air zam zam kekal sehingga ke hari ini dan menjadi air paling baik di dunia, dan sangat menakjubkan ia tidak pernah kering, malah boleh memberi minum kepada jutaan jemaah di Makkah dan Madinah hinggakan setiap jemaah yang menunaikan umrah dibekalkan 10 liter air zam zam percuma untuk dibawa pulang.
Antara hikmah dan manfaat air zam zam, ia anti oksida yang baik untuk tubuh kita. Selain itu, ia adalah penawar dan ubat bagi pelbagai penyakit, sebagaimana hadis Nabi SAW, yang bermaksud: “Air zam zam itu penuh berkat. Ia makanan yang mengenyangkan (dan ubat bagi merawat penyakit).” (Riwayat Muslim)
Tercatat di dalam kitab Zaadul Ma’aad, bahawasanya Imam Ibnu Qayyim menceritakan pengalamannya berkaitan cara menyembuhkan penyakitnya dengan air zam zam yang diselitkan dengan cara rukyah daripada al-Quran apabila dia sakit.
“Pada satu ketika aku pernah jatuh sakit, tetapi aku tidak menemukan seorang doktor atau sebarang ubat. Lalu aku berusaha mengubati dan menyembuhkan diriku dengan surah al-Fatihah, maka aku melihat pengaruh yang sangat menakjubkan.
“Aku ambil segelas air zam zam dan membacakan padanya surah al-Fatihah berkali-kali, lalu aku meminumnya sehingga aku mendapati diriku sembuh daripada penyakit.
“Kemudian aku bersandar dengan cara itu dalam mengubati pelbagai penyakit dan aku merasakan manfaat yang sangat besar. Kemudian aku memberitahu orang ramai yang menghidap penyakit dan ternyata ramai daripada mereka sembuh dengan cepat.”
Sesungguhnya, begitu besar kebesaran Allah SWT seperti mana hebatnya air zam zam yang diturunkan kepada Ismail dan Siti Hajar serta kekal sehingga kini untuk hamba-Nya. Jadi, banyakkan meminumnya untuk kesejahteraan hidup kita sebagai Muslim yang bertakwa.
1 comments:
Subhanallah..... hebatnya air zam-zam dan Al-Fatehah!
Post a Comment