Sibuk Bekerja Bukan Alasan Abaikan Solat



Solat ialah ibadah mudah untuk dilakukan, tetapi paling susah dilaksanakan, sedangkan ia amalan pertama akan ditanya Allah SWT kepada hamba-Nya ketika dihadapkan di muka pengadilan nanti. Walaupun menyedari hakikat itu, masih ramai yang mengabaikan perintah disampaikan oleh Allah secara langsung dari Luh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW semasa peristiwa Israk dan Mikraj yang menjadi sejarah penting untuk dikenang umat Islam tidak kira di mana berada.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersegeralah kamu mengerjakan amal yang soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah pagi kafir dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.”(Hadis riwayat Bukhari)

Bagaimana agaknya kita hendak menjawab apabila ditanyakan nanti kenapa meninggalkan solat. Apakah jawapan yang dirasakan sesuai untuk diberikan, malas, terlupa atau tidak tahu. Tepuk dada tanya iman kerana ketika itu keimanan kitalah yang akan menjawabnya.

Dalam mengejar tuntutan duniawi, bekalan di akhirat juga perlu disediakan. Oleh itu perancangan penting untuk kita menguruskan masa selama 24 jam yang dikurniakan berdasarkan keutamaan dan pastinya tanggungjawab kepada Pencipta sepatutnya berada di tangga teratas.

Sering kali disebabkan leka dengan kerja dunia, kita selalu mengambil ringan kepentingan menunaikan solat bukan saja memastikan dilaksanakan semua lima fardu itu tetapi dilaksanakan pada waktunya.

Ini ingatan kepada diri saya juga apabila menunaikan tanggungjawab di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah supaya jangan terlalu leka sebaliknya, apabila tiba masa, hendaklah menyegerakan seruan muazzin dengan menunaikan solat.


Tiada istilah tidak sempat solat

 

Jangan sampai tidak sempat solat kerana tiada istilah tidak sempat jika kita bijak merancang. Punca sering meninggalkan solat kerana kita gagal merancang. Jika sudah tahu jika balik kerja jam 6 petang kita akan terlepas solat Maghrib, ada dua pilihan di depan.

Balik selepas selesai menunaikan solat Maghrib, atau berhenti pada pertengahan jalan yang mempunyai kemudahan seperti surau untuk bersolat. Tambahan, banyak stesen minyak sekarang ini menyediakan ruang solat yang selesa untuk umat Islam menunaikan tanggungjawabnya.

Jika solat sering terabai, apatah lagi membaca al-Quran. Apa juga yang ingin kita lakukan berbalik kepada aspek perancangan. Jika dibiasakan membaca al-Quran selepas solat walaupun hanya beberapa ayat, itu sudah memadai daripada tidak membaca langsung.


Mengimarah Ramadan setahun sekali

Ramadan bakal menjengah tidak lama lagi dan sewajarnya pelbagai perancangan sudah dilakukan bagi mengimarahkan bulan mulia itu yang diraikan setahun sekali. Tidak mengapa jika semangat kita dikatakan bermusim, sekurang-kurangnya kita mengambil inisiatif untuk memastikan kedatangan bulan yang dijanjikan pelbagai ganjaran dimanfaat.

Lagipun, kita tidak tahu apakah kita berkesempatan bertemu Ramadan akan datang. Justeru, peluang yang ada digunakan sebaiknya. Begitu juga dengan solat, selagi kita dikurniakan keupayaan serta kesihatan, hendaklah kewajipan itu ditunaikan.

Perancangan merebut peluang penting seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sebagai peringatan kepada yang terlalu mementingkan hal keduniaan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bersegeralah kamu mengerjakan amal yang soleh, kerana akan berlaku fitnah seperti malam yang sangat gelita. Di dalam keadaan itu terdapat orang yang di sebelah paginya mukmin dan sebelah petangnya kafir, begitulah (sebaliknya) sebelah petang dia mukmin dan sebelah pagi kafir dia menjual agamanya dengan kepentingan dunia yang sedikit.”(Hadis riwayat Bukhari)

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Fakta Dan Kisah Bumi | Bloggerized by Kisah Bumi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...